Kosmo : THLT raih tiga mata pertama

KETUA jurulatih Pa­sukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT), Muhammad Harun Al Rashid Samri gembira skuad bim­bingannya kembali di landasan kemenangan pada saingan Liga Hoki Wanita Malaysia (MWHL) musim ini.

Juara bertahan itu terdahulunya seri 1-1 dengan Blue Warriors telah berjaya me­rakam kemenangan bergaya 4-0 ke atas Kuala Lumpur (KL) Wipers pada aksi kedua liga di Stadium Hoki Kuala Lumpur semalam.

Walaupun gembira meraih tiga mata pertama, namun Harun berharap barisan pemain terutamanya jentera serangan dapat memanfaatkan setiap peluang dimiliki pada perlawanan-perlawanan seterusnya.

“Pemain nampak bergelut disebabkan sukar menyumbat gol, itu sahaja. Daripada aspek lain, semuanya tiada masalah dan keserasian antara pemain juga semakin meningkat.

“Hari ini (semalam) kami memperoleh 15 peluang tetapi empat gol sahaja terhasil. Pada aksi terdahulu (bertemu Blue Warriors) kami cuma menjaringkan satu gol daripada 16 peluang yang dimiliki ketika itu.

“Bagaimanapun, saya tidak bimbang kerana percaya prestasi para pemain akan meningkat perlawanan demi perlawanan,” katanya kepada Kos­mo! Ahad selepas tamat aksi tersebut.

Empat gol TLHT semalam dijaringkan oleh Nurazlin Sumantri, Siti Noor Amarina Ruhani, Tuan Nur Hidayah Tuan Ismail dan Nur Aisyah Hashim.

Pada masa sama, Harun mendedahkan, skuadnya akan lengkap awal bulan depan selepas mendapat khid­mat pemain import dari Jerman, Pahila Arnold dan tonggak pasukan kebangsaan, Fazilla Sylvester Silin.

No comments

Powered by Blogger.