Arena : Izad reda dilanda kecederaan

Jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen, menyifatkan peluang tipis bagi pemain pertahanan, Izad Hakimi Jamaluddin, untuk berada dalam skuad negara ke Piala Sultan Azlan Shah bulan depan selepas dinasihatkan berehat enam minggu akibat kecederaan prosterior cruciate ligament (PCL) ketika berdepan Maybank, 19 Januari lalu.

Meskipun jurulatih itu masih belum menamakan senarai 18 pemain negara, dia menyifatkan sukar untuk menyenaraikan Izad dengan mengambil faktor kecergasan pemain berkenaan.


Selain itu, Van Huizen juga perlu menilai tahap prestasi dan keadaan fizikal pemain lain kerana ada antara mereka sedang bersaing dalam Piala TNB.

"Paling penting adalah kesihatan pemain itusepenuhnya. Ia berisiko untuknya beraksi dan ketika ini dia menjalani sesi pemulihan.

"Selepas ini, dia perlu menjalani beberapa ujian bagi membuktikan dia boleh bermain," katanya.

Ia situasi perit buat Izad kerana dia baru sahaja kembali selepas berehat tiga bulan gara-gara kecederaan betis kiri ketika mewakili Malaysia dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Sementara itu, Izad berkata: "Saya reda selepas mengetahuinya menerusi ujian imbasan MRI. Ia koyak habis. Sekarang ini, saya hanya perlu pulihkan kecederaan," katanya.

Meskipun Piala Sultan Azlan Shah akan membuka tirai kurang empat minggu lagi, kesuntukan masa tidak menghalang Van Huizen untuk mengatur dua perlawanan persahabatan menentang Argentina bagi menguji keserasian pemain.

"Kami bersedia untuk berdepan Argentina. Kami sebelum ini beraksi baik menentang mereka dan kami akan mengadakan dua perlawanan persahabatan pada 26 dan 27 Februari ini," katanya lagi.

Selain Malaysia dan Argentina, lima lagi negara akan bertanding dalam kejohanan itu, iaitu Australia, India, England, Ireland dan Pakistan di Ipoh dari 3 hingga 10 Mac ini.

Edisi tahun lalu menyaksikan Malaysia sekadar menamatkan saingan di tangga terakhir daripada enam negara yang bertanding.

No comments

Powered by Blogger.