BHarian : Pemain KLHC perlu sabar

KUALA LUMPUR: Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) akan berdepan perlawanan kedua separuh akhir Piala TNB menentang Tenaga Nasional Berhad dengan lebih berhati-hati.

Pasukan itu sedar rasa tidak sabar dan terburu-buru boleh menimbulkan kesan buruk ketika KLHC ketinggalan 2-3 kepada TNB selepas aksi pertama namun mereka mampu menukar kekurangan satu gol itu untuk layak ke final Sabtu ini.

Jurulatih KLHC, Lim Chiow Chuan mahu anak buahnya mengekalkan rentak dan tidak terlalu mencuba untuk mengejar lawannnya itu.


"Kami mencari satu gol justeru kami perlu mengambil inisiatif dan menjadikan ia kenyataan. Kami perlu bersabar," kata Chiow Chuan.

"Semuanya mengenai melakukan perkara yang betul dan tidak membuang bola ketika setiap peluang perlu digunakan."

KLHC hampir pasti turun tanpa Rashid Baharom bagi perlawanan itu ketika dia bergelut untuk cergas selepas kecederaan pada aksi pertama Ahad lalu.

"Kami perlu mengurangkan kesilapan individu seperti menghantar dan menerima bola, mengawal dan merampas bola. Membuat keputusan ketika melakukan serangan juga perlu dipertingkatkan. Tentu saja, cuba dapatkan pukulan sudut penalti," kata Chiow Chuan.

Sementara itu, jurulatih Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Arul Selvaraj berkata, persoalan utama adalah memastikan pemainnya kembali mengikut perancangan permainan.

UniKL memiliki kelebihan 4-1 mengatasi Pasukan Hoki Terengganu (THT) selepas separuh akhir pertama.

"Kami perlu bermain dengan bijak dan tidak melakukan kesilapan mudah yang boleh membuatkan mereka kembali mendapat rentak," kata Arul.

No comments

Powered by Blogger.