Hmetro : 60 minit tentu nasib

Kuala Lumpur: Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) berjanji mempamerkan kebangkitan pada aksi separuh akhir kedua Piala TNB bertemu TNB hari ini selepas tewas 2-3 kepada lawan mereka pada aksi separuh akhir pertama, Ahad lalu.

Kapten pasukan, Mohamad Sukri Abd Mutalib berkata, tidak kira apa yang berlaku, dia serta rakan sepasukan perlu mengatasi TNB pada aksi timbal balik nanti, sekali gus mara ke pentas final.

“Dalam hoki moden, ketinggalan satu gol bukan masalah besar kerana kami masih ada peluang untuk bangkit dalam 60 minit baki permainan akan datang.

“Apa yang paling mustahak kami perlu merancang strategi dengan tepat, menganalisa permainan lawan dan semua pemain perlu berdisiplin di atas padang,” katanya.

Jelas Sukri, kekalahan tipis kepada TNB pada separuh akhir pertama itu berpunca daripada beberapa kesilapan mudah yang mereka lakukan sehingga menghukum pasukan.

“Selepas tewas 0-4 pada perlawanan terakhir liga, TNB sudah melakukan persiapan rapi. Jelas sekali taktikal mereka menjadi.

“Sekarang bukan tempoh untuk belajar lagi, sebaliknya setiap pemain perlu matang dan tahu apa yang perlu dilakukan ketika di atas padang,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Pasukan Hoki Terengganu (THT), Sarjit Singh mahu barisan pemainnya mencari gol awal pada aksi timbal balik selepas dikejutkan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 1-4 pada perlawanan separuh akhir pertama.

“Kami perlu mencari gol pertama lebih awal kemudian diikuti gol kedua dan ketiga.

“Saya yakin barisan pemain saya mampu melakukannya kerana kami pernah berdepan situasi sama sebelum ini.”

No comments

Powered by Blogger.