BHarian : THT enggan UniKL jadi penghalang

KUALA LUMPUR: Juara Liga Hoki Malaysia (LHM), Pasukan Hoki Terengganu (THT) akan bertemu lawan yang sentiasa memberi kesukaran kepada mereka di saingan liga, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), pada saingan separuh akhir pertama Piala TNB, bermula esok.

Pada saingan liga sebelum ini, kedua-dua pasukan seri 2-2 dan 1-1.

Satu lagi perlawanan separuh akhir membabitkan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pertembungan kedua-dua pasukan itu sukar diramalkan selepas TNB mengejutkan KLHC dengan kemenangan 4-2 sebelum mereka pula tewas 0-4.

UniKL berharap dapat meraih keputusan seri kali ketiga pada separuh akhir pertama untuk mencerahkan peluang beraksi di final Piala TNB.

"Kami akan mengekalkan taktikal yang sama seperti dua perlawanan liga sebelum ini, iaitu untuk terus memberi tekanan kepada lawan," kata ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj.


Arul bimbang dengan masalah kecederaan dan kepenatan kerana separuh akhir kedua pula bakal berlangsung pada Rabu. Ketua jurulatih THT, Sarjit Singh pula kekal optimis barisan pemainnya mampu memenangi satu lagi kejuaraan.

"Saya beritahu pemain sebelum ini bahawa kami tidak boleh menamatkan saingan liga musim ini tanpa sebarang kejuaraan dan akhirnya mereka berjaya melakukannya.

"Kejayaan memenangi Liga Perdana seharusnya menjadi tonik terbaik barisan pemain saya untuk memenangi kedua-dua aksi separuh akhir sekali gus memenangi kejuaraan kedua," katanya.

Pada satu lagi aksi separuh akhir pertama, KLHC dan TNB dijangka akan mempamerkan corak permainan berhati-hati.

"Separuh akhir adalah satu saingan berbeza. Setiap pasukan pastinya akan meningkatkan prestasi permainan mereka. Saya rasa peluang untuk semua pasukan adalah sama rata," katanya.

Piala TNB

Separuh akhir pertama esok

THT mln UniKL, 6 ptg

KLHC mln TNB, 8.30 mlm

(Padang 2, Std Hoki Nasional Bukit Jalil)

No comments

Powered by Blogger.