Kosmo : THT rampas mahkota kejuaraan

IMPIAN Pasukan Hoki Terengganu (THT) merampas kejuaraan Divisyen Premier Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini daripada tangan juara bertahan, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) akhirnya menjadi ke­nyataan.


FAIZAL (kanan) menjaringkan satu gol ketika membantu THT menewaskan KLHC 2-1 untuk muncul juara Divisyen Premier MHL di Bangsar, Kuala Lumpur semalam.
Lebih manis, gergasi hoki Pantai Timur itu melakukannya di laman pihak lawan iaitu Stadium Hoki Kuala Lumpur, Bangsar selepas bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas KLHC pada aksi terakhir liga semalam.


Kemenangan itu mengesahkan kejayaan THT sebagai juara liga musim ini sekali gus membalas dendam dua kekalahan terhadap KLHC di pentas final musim ini iaitu Piala Tan Sri P. Alagendra dan Piala Sumbangsih.

Bintang THT yang juga penyerang skuad hoki kebangsaan, Faizal Saari menyifatkan pertukaran strategi pada suku masa ketiga membuahkan hasil selepas bergelut mencari gol dalam babak pertama permainan.

“Kami bermain untuk menang, bukan mahu seri. Saya gembira kerana ia berhasil dan sekarang tidak sabar untuk berdepan aksi separuh akhir Piala TNB selepas ini.

“Terima kasih kepada semua penyokong yang sanggup datang jauh dari Terengganu untuk memberikan sokongan kepada kami. Kejayaan ini buat mereka semua,” katanya selepas tamat perlawanan tersebut.

Dalam aksi itu, KLHC dan THT dilihat buntu mencari gol pada suku masa pertama serta kedua dengan kedua-dua pasukan gagal mencari jalan untuk menembusi benteng pertahanan masing-ma­sing.

KLHC akhirnya berjaya membuka tirai jaringan menerusi gol padang Nabil Fiqri Mohd. Noor pada minit ke-30.

Kelebihan satu gol itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya selepas membenarkan THT bangkit memenangi perlawanan itu dengan dua gol pantas dalam tempoh tiga minit menerusi serangan balas diketuai Faizal.

Faizal berjaya menyamakan kedudukan 1-1 dengan pukulan deras menewaskan penjaga gol KLHC, Roslan Jamaluddin pada minit ke-50 sebelum Lopez Barreiros memastikan kemenangan mutlak milik THT dengan gol kedua berselang tiga minit kemudian.

No comments

Powered by Blogger.