Kosmo : Blue Warriors mampu kenduri gol

KETUA jurulatih Blue Warriors, Zulkhairi Arif­fin masih belum ber­puas hati walaupun anak-anak buahnya menang bergaya 4-0 ke atas UiTM-KPT pada aksi Liga Hoki Wanita Malaysia (MWHL) 2018 di Stadium Hoki Tun Razak, Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam.

Zulkhairi menegaskan selain tiga mata, skuad bimbingannya perlu menang dengan jumlah jaringan yang besar agar terus memberikan tekanan kepada pencabar terdekat di tempat kedua, PKS Uniten-KPT yang kurang satu perlawanan berbanding mereka.


“Empat jaringan tidak cukup kerana kami sebenar­nya boleh menang dengan lapan atau sembilan gol hari ini (semalam). Kami lebih banyak bermain ‘memenatkan’ diri sendiri dalam perlawanan ini.


“Tiga mata sangat mustahak tetapi jumlah jaringan juga penting. Apatah lagi selepas ini kami akan bertemu lawan sukar iaitu juara bertahan, Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) pada aksi ter­akhir liga (Isnin ini),” katanya selepas tamat perlawanan semalam.

Empat gol Blue Warriors dalam perlawanan itu diperoleh menerusi dua jaringan Reena Rani dan masing-ma­sing satu gol daripada Ritu Rani serta Norbaini Hashim.

Sementara itu, Zulkhairi menegaskan, skuad kendaliannya akan memberikan aksi terbaik ketika menentang TLHT Isnin ini sambil mengharapkan keajaiban berlaku sama ada PKS Uniten-KPT tercicir mata dalam dua perlawanan mereka selepas ini.

“Kelebihan sudah pasti dalam tangan PKS Uniten-KPT kerana dijangka menang baki dua perlawanan mereka. Kami mengharapkan agar jumlah jaringan gol mereka lebih sedikit berbanding kami.

“Apa pun kami perlu menang dengan TLHT dahulu barulah kita lihat apa keputusannya. Kalau boleh saya mahu merasai gelaran juara liga musim ini selepas dua kali berturut-turut muncul naib juara 2016 dan 2017,” jelasnya.

No comments

Powered by Blogger.