HMetro : Harap kali ini juara

Kuala Lumpur: Blue Warriors terus memberi tekanan kepada seteru utama, PKS Uniten-KPT apabila merampas kedudukan teratas Liga Hoki Wanita Malaysia selepas menewaskan UiTM KPT 4-0, semalam.

Selepas 11 perlawanan, Blue Warriors sudah mengumpul 27 mata, lebih tiga mata berbanding PKS yang kurang satu perlawanan.

Bagaimanapun, di sebalik kemenangan meyakinkan itu, ketua jurulatih Blue Warriors, Zulkhairi Ariffin belum berpuas hati.

“Bagi saya empat jaringan masih tidak cukup. Kami sepatutnya mampu mencatatkan kemenangan antara lapan hingga sembilan gol.


“Ini kerana perbezaan jaringan dengan PKS juga cukup penting dalam menentukan kejuaraan liga,” katanya.

Tegas Zulkhairi, beliau tidak mahu keputusan lain selain kemenangan apabila bertemu Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) pada perlawanan terakhir liga, Isnin depan.

“Sudah dua musim berturut-turut kami muncul naib juara. Harap kali ini kami dapat memenuhi impian untuk muncul juara liga,” katanya.

Bagaimanapun, impian Blue Warriors itu dilihat sukar kerana PKS dijangka tidak berdepan masalah meraih enam mata penuh pada baki dua perlawanan bertemu MSN Kedah serta Penang Juniors.

Pada perlawanan semalam, tonggak import dari India, Reena Rani menjaringkan dua gol pada minit ke-12 dan 52 menerusi jaringan padang dan pukulan sudut penalti.

Rakan senegara Reena, Ritu Rani pula menyempurnakan penalti stroke minit ke-40 dan pemain kebangsaan, Norbaini Hashim turut menyumbang gol padang minit ke-49.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 4:48 AM

No comments

Powered by Blogger.