BHarian : Mirnawan puji peranan Razie

Prestasi cemerlang Razie Rahim sepanjang tiga aksi pertama Piala Sultan Azlan Shah 2018 mendapat pujian legenda hoki, Datuk Mirnawan Nawawi yang percaya kapten skuad negara itu adalah aset utama buat Malaysian Tigers ketika ini.

Mirnawan memuji persembahan Razie, 31,  selepas berjaya memimpin pasukannya dengan baik untuk melakar kejutan menewaskan pasukan nombor dua dunia Argentina 2-1 di Stadium Hoki Azlan Shah, semalam.  

Walaupun gagal mengulangi rentak jaringan seperti hatrik ketika menumbangkan Ireland 4-1 dalam aksi sulung, namun bintang Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) itu jelas boleh dianggap sebagai 'marshal' pasukan negara ketika ini.


Mirnawan berkata: " Untuk Razie sememangnya setakat ini kita lihat dia mengetuai pertahanan negara bersama Faiz Helmi (Jali) dengan begitu baik.

"Malah, saya lihat dia bukan saja baik daripada segi bertahan, tetapi larian ke depan turut berjaya membantu bahagian serangan untuk mempunyai 'extra man' (lebihan pemain) ketika mengatur serangan."

Dalam pertemuan ketiga semalam, Malaysia mengejutkan Argentina 2-1, hasil jaringan babak pertama Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil dan Najmi Farizal Jazlan dengan gol lawan disumbangkan oleh Diego Paz. 

Di sebalik kejayaan itu pujian harus diberikan kepada setiap pemain negara dengan Razie paling menonjol apabila beberapa kali berjaya memerangkap lawan menerusi gerakan bola lambungan jauh ke depan yang tepat, menemui Firhan Ashaari dan Tengku Ahmad Tajuddin.

"Saya melihatnya (bola lambungan jauh dari belakang oleh Razie) sebagai kekuatan utama pasukan negara ketika ini, jadi saya berharap kekuatan ini harus dibaca dengan baik oleh pemain lain."

Malam ini, Malaysia di ranking ke-12 dunia akan turun menentang India dalam aksi keempat sebelum melengkapkan jadual liga sepusingan itu bertemu England, Jumaat ini

Kemenangan ke atas India harus meningkatkan peluang skuad negara melangkah ke pentas final dengan mereka ketika ini terikat bersama Argentina di kedudukan kedua dengan enam mata.

Sementara Australia yang terus mengekalkan rekod bersih kini memimpin saingan dengan sembilan mata.

No comments

Powered by Blogger.