HMetro : Malaysian Tigers miliki talian hayat

PENGENDALI skuad hoki negara, Stephen Van Huizen percaya pasukannya tetap mempunyai peluang untuk layak ke suku akhir Piala Dunia 2018 di Bhunaneswar, India, November depan meskipun diundi dalam kumpulan maut.

Biarpun mendapat laluan sukar apabila diundi dalam Kumpulan D bersama pasukan ranking keempat dunia Belanda, Jerman (kelima) dan Pakistan (ke-13), namun Van Huizen berkata, peluang tetap ada buat pasukannya.

Jelasnya, undian yang tidak menyebelahi pasukan ranking ke-12 dunia itu memang sudah dijangka, memandangkan Malaysian Tigers sekadar berada di ranking pertengahan.

“Memang situasi ini bukan di bawah kawalan kami sebab undian ini berdasarkan kedudukan ranking dan sebagai pasukan nombor 12 dunia kami mendapat undian yang sukar.

“Bagaimanapun, kami tetap mempunyai peluang untuk layak ke suku akhir kerana ada perubahan dari segi format yang mana hanya juara kumpulan automatik layak ketika pasukan yang menduduki tempat kedua dan ketiga perlu bersaing pada pusingan cross-over dan sekiranya menang akan layak ke suku akhir.

“Saya percaya hanya dengan satu kemenangan kumpulan sudah mencukupi untuk kami mencari slot ke suku akhir,” katanya.


Berdasarkan rekod pertemuan lalu, skuad bimbingan Van Huizen yang dalam persiapan terakhir untuk ke Piala Sultan Azlan Shah bermula Sabtu ini tidak pernah menundukkan Belanda mahupun Jerman, apatah lagi dengan nasib penjaga gol utama S Kumar yang digantung sementara kerana doping masih belum diketahui.

Hanya pertemuan dengan Pakistan dilihat sebagai peluang terbaik bagi Malaysia meraih mata penuh dan sekiranya benar menjadi kenyataan mereka tetap mempunyai ‘talian hayat’ untuk layak ke suku akhir dengan syarat perlu menang pada aksi pusingan cross-over.

Dalam undian yang dikeluarkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) hari ini, Malaysia dijadualkan membuka kempen menentang Belanda pada 1 Disember diikuti pertemuan dengan Pakistan (5 Disember) dan Jerman (9 Disember).

Musuh utama yang juga pasukan nombor satu Asia, India bagaimanapun mendapat laluan lebih mudah sebagai tuan rumah apabila diundi dalam Kumpulan C bersama Belgium, Kanada dan Afrika Selatan.

Kumpulan A pula terdiri daripada pasukan nombor dua dunia Argentina, Sepanyol, New Zealand dan Perancis dengan juara bertahan Australia, Ireland, England dan China diletakkan dalam Kumpulan B.

No comments

Powered by Blogger.