Kosmo : Malaysia jumpa Belanda, Jerman

SKUAD hoki lelaki negara berdepan tugas sukar pada kempen Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India Disember depan selepas diundi bersama dua gergasi Eropah, Belanda dan Jerman.

Apa tidaknya, Belanda yang merupakan pasukan No. 4 du­nia, masih segar dengan kejayaan menjuarai Kejohanan Eropah 2017 dan pada masa sama skuad The Oranje itu merupakan naib juara Piala Dunia 2014.


Jerman yang menduduki ran­king kelima dunia pula merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2016 dan sudah tentu mahu mengubati kekecewaan pada edisi Piala Dunia kali ini selepas sekadar meraih tempat keempat pada empat tahun lalu.

Satu lagi pasukan bakal dihadapi Malaysian Tigers, No. 12 dunia, dalam Kumpulan D ialah musuh tradisi dari Asia iaitu Pakistan yang menghuni tangga ranking ke-13 dunia.

Skuad bimbingan Stephen Van Huizen itu akan memulakan aksi Kumpulan D bertemu Belanda pada 1 Disember, diikuti Pakistan (5 Disember) dan Jerman (9 Di­sember) di Stadium Kalinga.


Kumpulan A menyaksikan pemenang tempat ketiga, Argentina akan berentap dengan New Zealand, Sepanyol dan Perancis, manakala juara bertahan, Australia, England, Ireland dan China diundi berada dalam Kumpulan B.

Kumpulan C pula mempertemukan Belgium, India, Kanada dan Afrika Selatan.

Menyedari tugas berat dipikul Van Huizen, pengendali negara itu sedang berusaha mempersiapkan pasukan dengan menyertai beberapa kejohanan seperti dua aksi persahabatan menentang Argentina dan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Ipoh, Perak bermula Sabtu ini.

Dua aksi persahabatan menentang Argentina itu menyaksikan Malaysian Tigers tewas tipis 2-3 pada siri pertama kelmarin sebelum menang 3-0 hasil jaringan Muhammad Razie Abd. Rahim, Muhammad Firhan Ashari dan Mohd. Fitri Saari semalam.

Van Huizen yang mengumumkan barisan 18 terbaik menggalas cabaran pada PSAS semalam akan menghadapi dua kejohanan penting sebelum bermula Piala Dunia 2018.

Dua kejohanan itu ialah Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia bulan depan serta Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia bermula Ogos depan.

No comments

Powered by Blogger.