Pecah dominasi empat gergasi Asia

SKUAD hoki wanita negara melakar pencapaian membanggakan apabila menutup saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2018 di Bandar Donghae, Korea Selatan semalam dengan meraih tempat keempat, sekali gus memperbaiki keputusan edisi dua tahun lalu di Singapura.

Lebih menakjubkan, ini adalah kali pertama dalam tempoh lima tahun Malaysian Tigress berjaya memecahkan dominasi empat gergasi Asia milik China, Korea Selatan, India dan Jepun sejak meraih tempat ketiga pada ACT 2013 di Kakamigahara.

Ketua jurulatih, Muhammad Dharma Raj Abdullah amat berpuas hati dengan pencapaian itu kerana anak-anak buah­nya pernah dianggap ‘lauk’ kepada empat gergasi Asia tersebut.

“Apabila kami berjaya mengakhiri kejohanan ini di tempat keempat, ia adalah suatu pencapaian yang amat bagus kerana semua pasukan di sini memandang rendah kami sebagai pasukan paling lemah.

“Kami bersaing dengan pasukan-pasu­kan yang membawa skuad ke Piala Dunia 2018 kecuali Jepun tidak menghantar pasukan utama. Namun, saya merasakan kami sudah memberikan aksi terbaik sepanjang di sini,” katanya.

Malaysian Tigress terpaksa menerima hakikat gagal melakar kejutan untuk me­raih tempat ketiga mengulangi pencapai­an lima tahun lalu apabila tewas 0-2 kepada ranking kelapan dunia, China pada klasifikasi tiga dan empat di Stadium Sunrise semalam.

“China terpaksa bekerja keras untuk meraih kemenangan ke atas kami,” jelas Dharma selepas menyaksikan anak-anak buahnya membenarkan Song Xiaoming meledak dua gol pada minit ke-14 dan ke-53.

Skuad negara mencatat satu kemena­ngan dengan menewaskan pasukan No. 12 dunia, Jepun 3-1 selain tiga kekalahan, 1-3 kepada China, 1-3 kepada juara baharu, Korea Selatan (No. 9 dunia) dan 2-3 kepada India (No. 10 dunia) dalam empat aksi liga sepusingan.

ACT 2018 dilihat sebagai platform ter­akhir buat Malaysian Tigress mengenal pasti kelemahan dan kekuatan pihak lawan sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia pada Ogos depan.

Sukan Asia 2018 adalah misi utama mereka tahun ini selepas disasarkan untuk memenangi pingat gangsa, mengula­ngi kejayaan edisi 1982 di New Delhi, India.

No comments

Powered by Blogger.