Ayuni penjaga gol terbaik Asia

KETANGKASAN Farah Ayuni Yahya mengawal gawang skuad hoki wanita negara daripada ‘dirobek’ kuasa-kuasa besar benua Asia pada Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2018 mendapat pengiktirafan apabila dia dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik kejohanan itu.

Ia merupakan penghormatan kedua dalam karier Farah Ayuni, 29, yang berjaya mempertahankan anugerah individu tersebut selepas kali pertama dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik Asia pada ACT 2016 di Singapura.

Kejayaan Farah Ayuni pada edisi 2018 di Bandar Donghae, Korea Selatan lebih manis kerana Malaysian ­Tigress berjaya menamatkan kejohanan di tempat keempat, sekali gus memecahkan dominasi empat gergasi Asia sejak kali ter­akhir dilakukan lima tahun lalu.

Penjaga gol Blue Warriors daripada Polis Diraja Malaysia itu mengakui langsung tidak menjangka dapat memenangi anugerah tersebut buat kali kedua berturut-turut.


“Saya tidak pernah terfikir untuk memenangi apa-apa anugerah dalam mana-mana kejohanan. Saya cuma fikir untuk memberikan prestasi terbaik agar dapat membantu rakan sepasukan mencatatkan keputusan positif.

“Penghargaan ini adalah suatu penghormatan terhadap prestasi saya di sini. Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan kerana tanpa mereka, saya tidak akan memenangi anugerah ini.

“Anugerah ini menyuntik semangat dan memberikan motivasi tambahan untuk saya menampilkan prestasi yang lebih bagus selepas ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Selain menyelamatkan banyak percubaan berbahaya, salah satu faktor dilihat membolehkan Farah Ayuni bergelar penjaga gol terbaik kejohanan selepas dia berjaya menafikan dua pukulan pe­nalti sepanjang kejohanan tersebut.

Selain anugerah tersebut, anak jati Johor Bahru itu turut dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan ketika menentang India dalam aksi liga sepusi­ngan meskipun Malaysian Tigress tewas 2-3 dalam aksi berkenaan.

Turut memenangi anugerah pemain terbaik perlawanan ialah kapten, Siti Nur Amarina Ruhani ketika tewas 1-3 kepada China dan penyerang yang boleh beraksi di bahagian tengah, Wan Norfaiezah Md. Saiuti sewaktu menewaskan Jepun 3-1.

No comments

Powered by Blogger.