Awas pemain senior kebangsaan

PENYENARAIAN nama penyerang berusia 15 tahun, Kirandeep Kaur Gurdip Singh dalam barisan 18 terbaik sepatutnya menjadi petanda buat pemain-pemain senior skuad hoki wanita negara agar mempertingkatkan pres­tasi mereka secepat mungkin.

Apa tidaknya, ketua jurulatih Malaysian Tigress, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah lebih cenderung memberi peluang kepada Kirandeep membuat debut antarabangsa berban­ding pemain senior pada Siri Hoki Terbuka Dunia di Si­ngapura dari 23 Jun ini hingga 1 Julai depan.


Dhaarma sendiri mendedahkan, beliau tidak teragak-agak untuk membawa lebih ramai pemain muda yang dilihat berbakat besar seperti Nur Amirah Syakirah Zulkifli dan Nur Maziatulhanim Syafi Sheik Fuad.

“Saya sudah tidak berminat membawa pemain senior atau berpengalaman untuk slot ke-17 dan 18 yang cuma bermain beberapa minit sahaja dalam perlawanan. Saya mahu lihat peningkatan yang lebih tinggi dalam pasukan ini.

“Saya mahu menggunakan pemain muda supaya mereka mendapat platform untuk me­ningkat dan mencabar tempat kesebelasan dalam pasukan ini seperti ditunjukkan Amirah dan Syafi.

“Walaupun baru berusia 15 tahun, Kirandeep ada bakat luar biasa. Ini memberikan saya lebih keyakinan untuk membawa ramai pemain (muda) yang berpotensi besar,” katanya.

Dhaarma berkata demikian sewaktu berkumpul di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebelum bertolak ke Singapura semalam bagi menghadapi kejohanan yang merupakan pusingan kelayakan awal Sukan Olimpik 2020.

Pada masa sama, Dhaarma berharap mentaliti para pemain terutama bakat-bakat muda dapat diubah untuk menjadi berkelas dunia, bukannya sekadar ‘jaguh kampung’ di Malaysia dan benua Asia Tenggara sahaja.

No comments

Powered by Blogger.