SIRI TERBUKA SINGAPURA: TIADA ISTILAH LAWAN MUDAH BAGI MALAYSIAN TIGRESS

Kapten pasukan kebangsaan wanita, Siti Noor Amarina Ruhani menyifatkan tiada istilah lawan mudah atau sikap ambil mudah ketika turun beraksi di pusingan pertama Kejohanan Hoki Siri Terbuka Singapura 2018 yang akan berlangsung di Pusat Sukan Seng Kang, Singapura pada 23 Jun hingga 1 Julai ini.

Pusingan pertama yang akan menemukan Malaysia dengan tuan rumah Singapura, Thailand, Indonesia, Hong Kong dan Kazakhstan tetap dipandang bukan lawan yang mudah dan Malaysian Tigress berazam untuk terus meningkatkan mutu permainan mereka sehingga dinobatkan selaku juara bagi kejohanan pusingan pertama.


“Apabila kami kembali menjalani latihan persediaan untuk kejohanan ini, coach telah berkali-kali mengingatkan kesemua pemain bahawa tiada istilah lawan mudah atau tiada sikap ambil mudah ketika turun beraksi selagi kami tidak membawa balik kejuaraan untuk Kejohanan Siri Terbuka ini.

“Bagi saya kami perlu meningkatkan lagi usaha dua atau tiga kali ganda dan buktikan bahawa Malaysia merupakan pasukan pilihan untuk memenangi kejohanan pusingan pertama ini,” ujar Amarina ketika ditemui sebelum bertolak ke Singapura di Majlis Sukan Negara.

Dalam pada itu, Amarina turun berpandangan kehadiran pemain lebih muda seperti Nur Amirah Shakirah Zulkifli, Nur Maizatulhanim Syafi Sheik Fuad dan Kirandeep Kaur sebagai petanda positif untuk skuad hoki wanita negara dan percaya pemain-pemain muda ini mampu untuk memberikan aksi yang terbaik bagi membantu skuad kebangsaan selain mengharapkan Malaysian Tigress untuk muncul selaku juara.

“Bagi saya kehadiran pemain muda merupakan satu petanda positif kerana pemain-pemain muda ini mempunyai kualiti untuk beraksi di peringkat antarabangsa.

“Kejohanan ini juga kita dapat melihat serta menilai aksi mereka di peringkat yang lebih tinggi dan saya berharap mereka akan memberikan aksi yang baik.

“Sebagai pemain yang lebih berpengalaman kami pastinya akan membantu mereka untuk beraksi dengan lebih baik serta berkeyakinan tinggi.

“Kami akan berusaha sedaya upaya untuk muncul selaku juara dan kami akan cuba untuk membuktikan bahawa Malaysia berada di kelas yang tersendiri berbanding dengan pasukan-pasukan lain,” jelasnya lagi.

Malaysia akan membuka tirai perlawanan pada 23 Jun jam 3 petang bertemu Indonesia.

Berikut merupakan senarai 18 pemain yang menggalas tanggungjawab ke pusingan pertama Kejohanan Hoki Siri Terbuka Singapura 2018.


  1. Farah Ayuni Bt Yahya
  2. Mas Huzaimah Bt Md Aziz
  3. Siti Noor Amarina Bt Ruhani
  4. Juliani Bt Mohamad Din
  5. Raja Norsharina Bt Raja Shabuddin
  6. Nuraini Bt Abd Rashid
  7. Surizan Bt Awang Noh
  8. Wan Norfaiezah Bt Md Saiuti
  9. Fatin Shafika Bt Md Shukri
  10. Hanis Nadia Bt Onn
  11. Nuraslinda Bt Said
  12. Nur Syafiqah Bt Mohd Zain
  13. Nur Amirah Shakirah Bt Zulkifli
  14. Fazilla Sylvester Silin
  15. Nurul Syafiqa Bt Mat Isa
  16. Nur Zafirah Bt Aziz
  17. Nur Maizatulhanim Syafi Bt Sheik Fuad
  18. Kirandeep Kaur a/p Gurdip Singh


No comments

Powered by Blogger.