Bukan waktu untuk berseronok

KEMASUKAN sukan hoki khususnya skuad lelaki negara dalam Program Podium bermula 1 Januari 2018 merupakan satu petanda yang amat bagus memandangkan mereka bakal menghadapi tiga kejohanan penting tahun depan.

Tiga kejohanan itu adalah Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia (April), Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia (Ogos) serta Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India pada November tahun depan.


Ketua jurulatih Malaysian Tigers, Stephen Van Huizen (gambar kecil) mengakui, Program Podium akan memberikan banyak manfaat kepada anak-anak buahnya terutama bantuan dari segi sains sukan dan sokongan program-program yang lebih bermutu.

Sehubungan itu, Van Huizen, 58, menggesa barisan pemain agar berusaha lebih keras bagi membuktikan mereka sememangnya layak diserapkan ke program tersebut agar sukan hoki tidak dikeluarkan pada penilaian seterusnya.

“Tahun depan kami akan menghadapi tiga kejohanan besar dan setiap pertandingan itu ada sasaran tersendiri. Sudah tentu kami akan cuba meraih keputusan yang sebaik mungkin dalam setiap kejohanan ini.

“Program Podium amat pen­ting buat sukan hoki dan inilah cabaran yang perlu dipikul oleh para pemain. Jangan ingat masuk dalam program ini semua pemain boleh duduk bersenang-lenang.

“Kami harus menganggap ia sebagai satu tanggungjawab baharu dan perlu buat kerja betul-betul supaya sukan hoki boleh terus berada dalam Program Podium.

“Kami perlu membuktikan bahawa hoki layak berada dalam Program Podium dalam satu tempoh masa yang lama. Satu kerugian sekiranya hoki terkeluar pada penilaian seterusnya,” katanya ketika dihubungi Kos­mo! semalam.

Panel penilaian Program Podium membuat keputusan menyenaraikan 24 nama untuk sukan hoki khususnya pasukan lelaki berdasarkan kecemerlangan dipamerkan sepanjang tahun ini.

Antara kejayaan diraih Malaysian Tigers tahun ini bermula dengan kejayaan muncul juara Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia (WHL) di Dhaka, Bangladesh (Mac) sebelum meraih tempat keempat Separuh Akhir WHL di London pada Jun lalu.

Kejayaan itu menyaksikan skuad negara berjaya me­layakkan diri secara merit ke Piala Dunia 2018 yang mana ia merupakan penampilan kedua berturut-turut selepas turut beraksi pada Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda.

Kecemerlangan Malaysian Tigers berterusan apabila mereka berjaya meraih pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pada Ogos lalu dan muncul naib juara Piala Asia 2017 di Dhaka, Bangladesh baru-baru ini.

Justeru, Van Huizen menggesa anak-anak buahnya agar meneruskan kecemerlangan tersebut dengan Sukan Asia 2018 menjadi sasaran utama kerana juara akan ditawarkan slot automatik ke Sukan Olim­pik 2020 di Tokyo, Jepun.

“Sukan Komanwel 2018 tidak menawarkan pungutan mata untuk memperbaiki kedudukan ranking dunia sekarang, No. 12 tetapi kami tetap mahu pencapaian cemerlang.

“Sukan Asia 2018 sangat penting kerana ia adalah langkah pertama untuk layak ke Sukan Olimpik 2020. Kalau tidak, kami perlu mengharungi pusingan kelayakan yang mana ia lebih sukar kerana perlu bertemu lawan dari benua Eropah dan Oceania.

“Berdasarkan sejarah, memang sukar apabila bermain pusingan kelayakan Sukan Olimpik kerana kali terakhir kami layak adalah di Sydney, Australia pada 2000.

“Semua orang tahu Piala Dunia 2018 merupakan pentas paling sukar. Ia tidak bermakna kami mahu sekadar melengkapi pasukan tetapi kami mahu meraih keputusan paling tinggi mampu dicapai,” jelasnya.

Ternyata, kemasukan ke dalam Program Podium hadir pada waktu yang tepat buat skuad negara yang akan meneruskan latihan mereka bermula Isnin ini di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. KOSMO!

No comments

Powered by Blogger.