Pemain muda sabar dulu

Tahniah Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) mencipta sejarah menjulang Piala TNB buat kali pertama sejak ditubuhkan pada 2009.

Saya tertarik dengan kelibat pemain seperti penjaga gol, David Harte, Sander de Winj (pertahanan) dan kapten, Muhammad Marhan Abd Jalil yang cemerlang ketika menewaskan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pada final. 

Mereka kunci utama kejayaan UNIKL.

Selepas ini, tumpuan akan terarah kepada persiapan skuad kebangsaan menjelang Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak bermula 3 Mac depan.

Sudah tentu ada cadangan untuk pengendali negara, Stephen van Huizen, memanggil beberapa muka baru yang pamer potensi besar dalam Liga Hoki Malaysia.

Nama-nama seperti Mohamad Akhimullah Anuar Esook dan Shello Silverius (TNB) serta Muhamad Hafizuddin Mohd Emran (TNB Thunderbolts) antara yang dicanang peminat, namun bukan mudah memikat Stephen.

"Pemain-pemain ini ada potensi tapi kita perlu ingat, skuad negara berdepan banyak kejohanan penting tahun ini. Mungkin saya boleh panggil mereka untuk menyertai sesi latihan jika mereka cemerlang pada Piala Sultan Johor," kata Stephen.

Saya fikir proses ini akan lebih mudah jika Skuad Pembangunan masih diwujudkan.

Tahun lalu, kita masih memiliki pasukan kedua ini dan mana-mana pemain baru akan terus diserap dalam skuad ini.

Bagaimanapun, faktor kewangan menyaksikan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) terpaksa melepaskan ramai pemain muda berbakat hingga ada yang berkelana di luar negara.

Bagi skuad kebangsaan, Stephen kesuntukan masa untuk buat persiapan mantap ke Ipoh kerana pemain hanya akan menjalani sesi latihan penuh pada minggu depan (bermula 19 Februari) untuk beri peluang mereka berehat selain cuti sambutan Tahun Baru Cina.

The Malaysian Hockey Tigers dijadual berdepan ranking kedua dunia, Argentina pada aksi persahabatan di Bukit Jalil pada 27 dan 28 Februari sebelum berangkat ke Ipoh pada 1 Mac.

Ini bermakna, Malaysia hanya sempat berlatih dua minggu sebelum mencabar Piala Sultan Azlan Shah.

Nampaknya, Stephen hanya sempat fokus terhadap pemain sedia ada. Bagi pemain muda, anda masih ada banyak masa untuk memikat Stephen, Mohd Amin Rahim (penolong jurulatih), Mohd Nasihin Nubli (pengurus) atau Tai Beng Hai yang mula dikaitkan sebagai pembantu Stephen. 

Selamat berjaya!

-Bazly Azmi-

No comments

Powered by Blogger.